Sarawak setuju secara prinsip pindaan had kahwin 18 tahun — Fatimah

Dato Sri Fatimah Abdullah

KOTA SAMARAHAN, 27 Nov: Kerajaan Sarawak telah menafikan bahawa ia tidak bersetuju dengan pindaan undang-undang bagi meningkatkan had umur berkahwin di negara ini kepada 18 tahun.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah, berkata Sarawak secara prinsipnya bersetuju dengan pindaan itu tetapi tidak boleh melaksanakannya serta-merta seperti negeri lain kerana perlu mengambil tiga jenis perkahwinan berbeza penduduk negeri ini.

“Kita di Sarawak ini ada tiga jenis perkahwinan yang berbeza iaitu perkahwinan sivil, perkahwinan adat, dan perkahwinan syariah,” katanya selepas merasmikan Majlis Penangguhan Karnival Orang Kurang Upaya Sarawak (Kokus) 2019 di Unimas, di sini.


Fatimah mengulas kenyataan timbalan perdana menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail baharu-baharu ini yang Sarawak antara tujuh negeri tidak bersetuju meminda had minimum umur perkahwinan kepada 18 tahun selain Pahang, Terengganu, Perlis, Negeri Sembilan, Kedah dan Kelantan.

Beliau menjelaskan bahawa perkahwinan sivil di Sarawak memang minimum had umurnya sudah 18 tahun. Bagi kes remaja mengandung sebelum 18 tahun dan mahu berkahwin, maka kebenaran harus diperolehi terlebih dahulu dari ketua menteri atau residen.

“Perkahwinan adat pula berlainan bagi 27 kumpulan etnik di Sarawak dan secara rasminya kami sudah mendapat persetujuan meningkatkan had minimum perkahwinan kepada 18 tahun dari suku kaum Iban, Orang Ulu dan India,” katanya.

Selain itu, pihaknya juga sudah mendapat perakuan dari Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS) yang secara prinsipnya majlis itu juga bersetuju dengan minimum had umur berkahwin 18 tahun terbabit dan dalam proses mendokumentasikannya.

Namun, Fatimah menjangkakan kemungkinan had umur berkahwin terbabit mungkin sukar dilaksanakan bagi suku kaum Penan kerana ada yang masih hidup secara berpindah-randah di negeri ini.

“Perkahwinan syariah bagi pasangan Islam pula, itu berasaskan status ‘quo’, yang bermakna had umur minimum (pengantin) lelaki adalah 18 tahun dan 16 tahun bagi (pengantin) perempuan,” katanya.

Tambah beliau, perkahwinan dibawah 16 tahun tidak boleh dibuat sewenangnya dan permohonan perlu dibuat dari hakim syarie yang akan melihat kepatuhan kepada pelbagai syarat ditetapkan dan tidak sewenangnya. — DayakDaily