Sarawak sedia terima pelancong asing setelah dua pertiga rakyat terima vaksinasi

Kelihatan Abdul Karim (empat dari kiri) pada perasmian Roxy Villa di Sematan hari ini (11 April 2021). Turut kelihatan Jamilah (dua dari kiri) dan Lee (tiga dari kanan).

Oleh Chris Bishop

SEMATAN, 11 April: Sarawak sedia menerima kembali pelancong asing setelah dua pertiga daripada penduduk negeri ini menerima suntikan vaksin Covid-19.

Menurut Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, dengan pelaksanaan suntikan vaksin ia dapat membantu merendahkan lekuk jangkitan.


“Kita dapat lihat bahawa keadaan semakin lama semakin bagus dan oleh sebab kerajaan Malaysia dan kerajaan Sarawak memohon agar rakyat kita mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin.

“Dengan cara itu, kita sekurang-kurangnya dapat merendahkan lekuk jangkitan dan harapan kita pada penghujung tahun ini, lebih dua pertiga atau tiga perempat rakyat negeri ini sudah menerima suntikan,” katanya.

Abdul Karim berkata demikian pada satu sidang media setelah merasmikan Roxy Villa dan melawat Roxy Beach Telok Serabang di Sematan hari ini.

Pada majlis tersebut beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan turut merasmikan Majlis Pecah Tanah Roxy Beach Apartment.

Kelihatan Abdul Karim (dua dari kanan) pada sidang media di Telok Serabang hari ini (11 April 2021).

Dalam pada itu, beliau berkata bahawa kewujudan Roxy Villa dan pembinaan Roxy Beach Apartment akan merancakkan lagi aktiviti pelancongan di Tanjung Datu, khususnya di Sematan.

Katanya, kawasan Sematan hingga ke Tanjung Datu sangat berpotensi untuk dibangunkan sebagai kawasan pelancongan.

“Lebih-lebih lagi dengan pembinaan Jalan Pan Borneo dan pembinaan Jambatan Rambungan, ia bakal memudahkan pelancong dari luar (negeri) dan dalam untuk datang.

“Dengan semua kemudahan termasuk penginapan dan pengangkutan yang disediakan, ia akan merancakkan aktiviti pelancongan di sini dan kerajaan menerusi kementerian saya akan terus memberi sokongan,” kata Abdul Karim.

Beliau turut memuji usaha pemaju Roxy Sematan Villa iaitu Tecktonic & Sons Holding Sdn Bhd yang sanggup melabur untuk menyediakan kemudahan pelancongan di Sematan dan Telok Serabang.

Ujar beliau, ia bukan sahaja menaikkan nama Sarawak sebagai pusat pelancongan, namun turut menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Pada majlis itu, Pengarah Urusan Tecktonic & Sons Holding Sdn Bhd Lee Chin Teck telah menyerahkan sumbangan RM40,000 kepada Jawatankuasa Keselamatan Kampung Daerah Kecil Sematan yang diterima ADUN Tanjung Datu Datuk Amar Jamilah Anu. — DayakDaily