Sarawak sedia membantu pengusaha teksi mewujudkan aplikasi telefon pintar

Kelihatan salah satu kenderaan yang dipercayai menawarkan perkhidmatan pengangkutan kepada orang ramai melalui aplikasi Grab di Kota Samarahan.

KOTA SAMARAHAN, Jan 22: Kerajaan negeri mencadangkan kepada pengusaha teksi di negeri ini supaya mewujudkan aplikasi yang membolehkan orang ramai mendapatkan perkhidmatan mereka mengunakan telefon pintar seperti Grab dan Uber.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan negeri juga bersedia membantu mereka mewujudkan aplikasi itu supaya boleh kembali bersaing dengan pengusaha kenderaan Grab dan Uber di negeri ini.

“Kita hendak menolong pengusaha teksi di negeri ini, jadi saya memberitahu kepada mereka supaya mewujudkan aplikasi (menawarkan perkhidmatan teksi mengunakan telefon pintar) mereka sendiri. Kalau sudah ada aplikasi terbabit dengan nama Uber, mereka mungkin boleh menamakan aplikasi mereka itu Abar kah…,” katanya ketika Majlis Perasmian sempena Mesyuarat Perwakilan Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon 2 (Samarahan) di Dewan Suarah Kota Samarahan, di sini, baru-baru ini.


Abang Johari berkata ini supaya orang ramai yang mahu mengunakan perkhidmatan teksi di negeri ini boleh menempah perkhidmatan itu dengan mudah mengunakan telefon pintar sama seperti menempah perkhidmatan kenderaan Grab dan Uber.

Beliau berharap cadangan tersebut akan membolehkan pengusaha teksi tempatan dapat kembali memberikan persaingan merebut pelanggan dengan kenderaan Grab dan Uber dan mengelakkan mereka gulung tikar dalam perniagaan pengangkutan awam di negeri ini.

“Mana boleh kita sekarang melarang orang ramai dari mengunakan aplikasi dalam telefon pintar bagi menempah perkhidmatan kenderaan Uber dan Grab; orang ramai tidak akan mengendahkan larangan itu, lagipun harga perkhidmatan Uber dan Grab lebih murah,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri menyedari masalah dialami pengusaha teksi yang ketika ini semakin bimbang dengan persaingan sengit kenderaan Uber dan Grab dan meminta mereka menimbangkan cadangan terbabit dan menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi digunakan orang ramai.

Abang Johari malahan mendedahkan beliau dan wakil rakyat di negeri ini tidak mengelak dari menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi digunakan orang ramai dan kini perlu sentiasa bersedia memenuhi permintaan mereka bergambar berselfie mengunakan telefon pintar. — DayakDaily