Sarawak sedia hadapi kemungkinan banjir

Kelihatan Uggah semasa sidang media di Kuching.

KUCHING, 11 Jan: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) telah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan banjir berikutan hujan berterusan akibat tiupan angin Monsun Timur Laut.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah berkata, semua jentera yang melibatkan beberapa agensi sudah bersedia ketika ini.

“Kita ada JPBNS di peringkat Negeri dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPB) di peringkat Bahagian serta JPB di peringkat Daerah.

“Kesemua jentera ini memang mempunyai pengalaman yang luas dan telah digerakkan bagi menghadapi sebarang bencana,” katanya pada satu sidang media di Kuching hari ini.

Tambah Uggah yang juga Pengerusi JPBNS, sebanyak lapan agensi akan terlibat dengan seramai 6,705 pegawai dan anggota.

Manakala dari segi logistik katanya, sebanyak 286 bot disediakan, 115 buah lori, 247 kenderaan pacuan empat roda serta tiga helikopter.

Ujar beliau lagi, kini terdapat 625 Pusat Pemindahah Sementara (PPS) yang boleh menampung 185,000 mangsa dan jumlah PPS akan ditambah dari masa ke semasa.

“Bagi memastikan keperluan mangsa di PPS tidak terjejas, JPBNS telah mewujudkan satu depo simpanan besar di Kota Samarahan bagi menyimpan barang keperluan mangsa seperti tilam dan sebagainya.

“Selain itu, JPBNS mewujudkan tiga depo mini iaitu masing-masing satu di Kuching, Samarahan dan Miri,” katanya.

Uggah menasihati rakyat lebih-lebih lagi yang tinggal di kawasan rendah dan sering banjir agar sentiasa berjaga-jaga dan patuh arahan berpindah ke PPS jika diarah berbuat demikian.

“Jangan tunggu sehingga air naik sehingga ke paras bumbung baru nak pindah — itu sudah kritikal,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai yang tinggal di kawasan berisiko banjir agar menyimpan dokumen-dokumen penting dan barang berharga di tempat selamat. — DayakDaily