Sarawak sasar pendapatan RM15 bln menjelang 2025 — Abang Johari

Abang Johari memberi ucapan di majlis penutupan program itu. Foto: Ukas

KUCHING, 26 Feb: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyasarkan Sarawak mampu meraih pendapatan sebanyak RM15 bilion menjelang tahun 2025.

Menurut laporan TVS, Abang Johari berkata kerjasama dengan Setiausaha Kewangan Negeri sebagai satu pasukan diperlukan bagi menjayakan tujuan berkenaan melalui matlamat dan idea baharu.

“Bagi mencapai sasaran tersebut, saya menjangkakan kita semua perlu bekerja dengan lebih keras lagi di masa hadapan.


“Saya tidak tahu sama ada kita dapat mencapai sasaran itu ataupun tidak, tetapi masa akan menentukannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Program ‘Team Building’ Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak Tahun 2023 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Abang Johari juga memaklumkan, terdapat tiga faktor yang perlu dipatuhi dalam pengurusan kewangan iaitu, penggunaan, pelaburan dan simpanan.

“Kalau satu sahaja kesalahan yang dilakukan daripada faktor-faktor tersebut, maka ia mungkin akan mengganggu aliran tunai kita.

“Jika kita benar-benar menjaga ketiga-tiga komponen ini, kita tidak akan muflis, Alhamdulillah, setakat ini, kita sudah mencapai pendapatan negeri sebanyak RM11.9 bilion,” jelasnya.

Sebelum ini, Abang Johari berkata, Sarawak mencatatkan hasil pendapatan sebanyak RM11.9 bilion bagi tahun kewangan 2022 sekali gus melepasi unjuran sebanyak RM10.2 bilion yang disasarkan. — DayakDaily