Sarawak rekodkan penurunan 60 peratus kes jenayah

Aidi menunjukkan statistik rekod jenayah untuk tempoh Januari hingga Februari tahun ini.

KUCHING,3 Mac: Polis Sarawak merekodkan penurunan sehingga 60 peratus kes-kes jenayah di negeri ini untuk tempoh dua bulan pertama tahun ini berbanding tahun lepas.

Perkara tersebut disahkan oleh Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail.

Beliau memberitahu sehinggac 28 Februari tahun ini hanya 723 kes jenayah dilaporkan di seluruh negeri berbanding 1,766 kes pada tahun lepas.


“Untuk tempoh Januari hingga Februari tahun ini, jumlah kes jenayah menurun sehingga 60 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas, di mana antara yang ketara menurun ialah kes jenayah kekerasan, dan kes jenayah harta benda.

“Untuk jenayah kekerasan mencatatkan penurunan sehingga 50 peratus iaitu hanya merekodkan 96 kes tahun ini berbanding 200 kes pada tahun lepas.

“Bagi kes jenayah harta benda pula merekodkan penurunan kepada 627 kes pada tahun ini berbanding 1566 kes pada tahun lepas untuk tempoh yang sama,” katanya dalam sidang media selepas majlis serah terima tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak.

Menurut Aidi juga, Kuching merekodkan jumlah kes tertinggi diikuti Miri, Padawan, Sibu dan Bintulu.

Selain itu, Aidi juga tidak menolak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah antara faktor kepada penurunan kes-kes jenayah di negeri ini.

“Mungkin juga disebabkan kerana PKP dan kini dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menyebabkan orang ramai tidak dibenarkan merentas daerah atau zon, menyumbang kepada penurunan kadar jenayah terutamanya melibatkan jenayah harta benda,” jelasnya.-DayakDaily