Oleh Chris Bishop
KUCHING, 4 Dis: Sarawak merayu Kementerian Belia dan Sukan(KBS) mempertimbangkan semula keputusan mengurangkan kategori bagi acara sukan angkat berat pada Sukan Malaysia XX(SUKMA XX) di Johor tahun hadapan.
Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, walaupun berjaya di dalam rayuan terdahulu namun jumlah kategori yang bakal dipertandingkan masih belum memuaskan.
“Kita telah berjaya di dalam rayuan yang pertama tetapi ia dihadkan kepada lapan kategori sahaja, iaitu empat untuk lelaki dan empat lagi untuk wanita.
“Ada banyak lagi kategori lain di dalam sukan angkat berat yang boleh dimenangi Sarawak terutama kategori berat badan tinggi telah diputuskan untuk tidak dipertandingkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selesai mesyuarat bersama wakil-wakil persatuan sukan yang terlibat pada SUKMA XX di sini, hari ini.
Justeru Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan beranggapan wujud unsur politik berhubung keputusan tersebut.
Penganjur katanya sedar bahawa jika kategori yang lain dipertandingkan, ia akan dikuasai atlet-atlet Sarawak.
“Oleh yang demikian, mereka menggugurkan kategori tersebut dan ini sama sekali tidak menunjukan semangat kesukanan.
“Sarawak masih meneruskan rayuan dan kita juga faham yang 10 negeri lain pun membuat rayuan yang sama iaitu menggesa penganjur menambah kategori yang dipertandingkan,” katanya.
Beliau turut memberi contoh acara kanu yang pada temasya terdahulu hanya menawarkan 18 kategori.
Tapi di Johor nanti katanya, acara tersebut menawarkan 36 kategori iaitu peningkatan dua kali ganda.
“Bermakna acara tersebut akan menawarkan 36 pingat emas dan pasukan penganjur telah membuat persiapan rapi,” kata Abdul Karim.
Sebelum ini, mesyuarat Jawatan Kuasa Khas Teknikel pada 17 November lepas di Johor Bahru membuat beberapa keputusan termasuk hanya menawarkan 16 pingat emas bagi sukan angkat berat iaitu empat kategori lelaki dan empat kategori wanita.
Bagi kategori lelaki, hanya acara tidak melebihi 55 kilogram (kg), tidak melebihi 61kg, tidak melebihi 67kg dan tidak melebihi 73kg akan dipertandingkan.
Manakala bagi kategori wanita pula hanya acara tidak melebihi 76kg, tidak melebihi 81kg, tidak melebihi 87kg dan melebihi 87kg.
Pada sidang media yang sama, Abdul Karim memaklumkan Sarawak akan menghantar sejumlah 837 orang atlet dan pegawai kontinjen pada temasya tersebut yang membuka tirai dari 11 hingga 19 Julai 2020.
Jumlah kontinjen termasuk 678 orang atlet, 57 pengurus pasukan dan 102 orang pegawai.
Atlet-atlet Sarawak katanya akan mengambil bahagian dalam kesemua 32 acara yang akan dipertandingkan. —DayakDaily.