Sarawak pertimbang tambahan satu hari kelepasan am Aidilfitri

Abang Johari Tun Openg

KUCHING, 18 April: Sarawak mempertimbangkan samada mengikut kerajaan pusat memberi tambahan satu hari kelepasan am pada Aidilfitri ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, beliau masih memikirkan perkara tersebut.

“Tunggu, nanti saya umumkan, saya masih berfikir,” katanya ringkas ketika ditemui di majlis berbuka puasa dan solat berjemaah bersama kanak-kanak dari Kompleks Kebajikan Datuk Amar Hajah Laila Taib di sini, hari ini.


Terdahulu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata akan memberi satu hari kelepasan am tambahan.

Keputusan dibuat selepas mengambil kira pengumuman rasmi tarikh 1 Syawal yang hanya akan dibuat pada Khamis, 20 April 2023.

“Sekiranya 1 Syawal jatuh pada Jumaat (21 April) maka kerajaan menetapkan 24 April iaitu Isnin sebagai hari kelepasan am tambahan berdasarkan Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan 1951 bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Seandainya tarikh 1 Syawal jatuh pada Sabtu (22 April), maka kerajaan menetapkan hari Jumaat iaitu 21 April sebagai hari kelepasan am tambahan,” kata Anwar.

Pengumuman rasmi berhubung tarikh 1 Syawal 1444H untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri akan dibuat pada Khamis, 20 April oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. — DayakDaily