Sarawak peneraju industri ‘net zero’ masa hadapan – Dr Sim

Dr Sim (berdiri tengah) menyaksikan MoU di antara MPKS dan The United Nations Children's Fund.
Advertisement

KOTA SAMARAHAN, 10 Julai: Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian yakin Sarawak berpotensi menjadi peneraju kepada industri ‘net zero’ pada masa hadapan.

Menurut beliau, kesan perubahan iklim yang dialami di seluruh dunia menjadikan sektor minyak dan gas semakin kurang popular pada masa ini.

“Pada masa akan datang sektor minyak dan gas tidak lagi menjadi sumber utama negeri.

Advertisement

“Premier Sarawak (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg) memberitahu semua bahawa ini adalah disebabkan perubahan iklim.

“Premier berkata industri baharu akan muncul, dan paling utama Sarawak ada potensi selain menjadi pendahulu kepada industri ‘net zero’,” kata Dr Sim.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) dan The United Nations Children’s Fund hari ini.

Tambah Dr Sim, industri ‘net zero’ adalah berkaitan penangkapan dan penyimpanan karbon, tenaga hijau dan tenaga boleh diperbaharui.

Katanya, industri baharu ini memerlukan banyak kajian saintifik dan tenaga pakar.

“Disebabkan Sarawak telah diiktiraf sebagai peneraju dalam industri baharu ini, maka kita mesti mengambil kesempatan dengan sebaiknya.

“Seluruh dunia kini sedang memandang ke arah kita, dan membayar harga tinggi kepada kepakaran kita,” ujar Dr Sim.

Sementara itu beliau memaklumkan bahawa Sarawak telah mendapat pelaburan berkaitan industri ‘net zero’ bernilai RM462 bilion dari Korea Selatan.

Ujarnya lagi, ini membuktikan bahawa industri baharu semakin menjadi pilihan dunia.

“Industri minyak dan gas tidak pernah mendapat pelaburan sehingga trillion ringgit.

“Sarawak beruntung kerana ada tenaga boleh diperbaharui, tenaga hijau, penyimpanan karbon dan hidroelektrik,” kata Dr Sim. — DayakDaily

Advertisement