Sarawak pemain utama jaga alam sekitar di Malaysia

Johnny Pang (file photo). Photo credit: Johnny Pang Facebook

KUCHING, 20 Nov: Adun Tanjung Batu Johnny Pang yakin Rang Undang-Undang Alam Sekitar (Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Hijau) meletakkan Sarawak sebagai pemain utama dalam menjaga kelestarian alam di Malaysia.

Katanya, dengan meletakkan sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, Sarawak komited mematuhi Perjanjian Paris dan usaha menangani perubahan iklim.

“Sebagai contoh Bandar Bintulu yang dikenali kerana sektor minyak dan gas, undang-undang ini menggalakan pihak industri menggunakan teknologi bersih, mengurangkan pelepasan karbon.


“Ia bukan satu kawal selia, tetapi lebih kepada pembangunan mampan,” katanya.

Johnny berkata demikian dalam perbahasan menyokong Rang Undang-undang Alam Sekitar (Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Hijau) di Persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.

Tambah beliau, hubungi kait undang-undang tersebut dengan Bintulu tidak boleh dinafikan.

Katanya, sebagai hub industri dan perdagangan, Bintulu berada di barisan paling hadapan ke arah pembangunan mampan.

“Dengan memberi keutamaan kepada projek penangkapan dan penyimpanan karbon, Bintulu mendapat kesan positif dari aspek alam sekitar dan ekonomi,” katanya. — DayakDaily