Sarawak Pay diterima di negara Eropah dan Asia

Abang Johari (empat dari kanan) meneliti pameran modul bandar pintar di Majlis Pelancaran Pejabat Lembaga Multimedia Sarawak di Kuching hari ini (Nov 19, 2019).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Nov 19: Sarawak Pay sah digunakan di negara Eropah dan Asia setelah kerajaan negeri berjaya mengadakan kerjasama dengan UnionPay.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kemudahan itu merupakan usaha kerajaan negeri yang ingin menjenamakan semula Sarawak Pay agar diterima di peringkat global.

“Kita melakukan penjenamaan semula Sarawak Pay agar kemudahan ini boleh digunakan melangkaui Sarawak.

“Untuk tujuan itu, kita mengadakan kerjasama dengan UnionPay iaitu penyedia transaksi pembayaran dan pembelian menggunakan aplikasi pintar dompet elektronik dari China yang memiliki rangkaian di Eropah dan Asia.

“Bermakna, kita boleh menggunakan Sarawak Pay di semua negara yang memiliki rangkaian UnionPay,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Pejabat Lembaga Multimedia Sarawak yang terletak di Bangunan Yayasan Sarawak Jalan Masjid di Kuching, hari ini.

Mengulas isu yang sama, Abang Johari berkata Sarawak Pay adalah merupakan kaedah pengurusan kewangan yang menyerupai kad kredit.

Menurut beliau, sejak dilancarkan pada tahun 2017, pendaftaran pengguna Sarawak Pay menunjukan peningkatan.

Sarawak adalah negeri pertama di Malaysia yang menggunakan transaksi e-money seperti mana yang telah diberikan oleh Bank Negara Malaysia.

Di samping itu, Abang Johari juga berkata maklumbalas dari syarikat antarabangsa yang terlibat dalam industri yang sama juga amat memberansangkan.

“Baru-baru ini kita menerima tawaran kerjasama dari MCMC (Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia) untuk membawa syarikat-syarikat telekomunikasi utama ke Sarawak.

“Syarikat-syarikat utama ini akan membina menara telekomunikasi mereka dan ini selaras dengan usaha kita untuk mencapai rangkaian 5G di negeri ini,” ujar beliau. — DayakDaily