Sarawak pada Oktober capai sasaran 3 juta jumlah kemasukan pelancong

Abdul Karim (empat kiri) di Majlis Makan Malam 'Kuching, Kota Samarahan & Serian Pan Chern Liew Clan Association'

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 11 Nov: Sarawak mencapai sasaran 3 juta jumlah kemasukan pelancong pada Oktober lepas.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, catatan 3 juta pelancong tersebut dicapai pada minggu pertama Oktober.


“Bagi tahun 2023 ini kita meletakkan sasaran 3 juta jumlah kemasukan pelancong.

“Saya terkejut apabila dimaklumkan bahawa pada minggu pertama Oktober kita capai 3 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Makan Malam ‘Kuching, Kota Samarahan & Serian Pan Chern Liew Clan Association’ malam ini.

Dengan kejayaan itu, Abdul Karim yakin angka 4 juta kemasukan pelancong mungkin boleh dihanpiri pada penghujung tahun ini.

Katanya, pelbagai acara dan aktiviti telah dirancang dalam tempoh dua bulan ini yang diyakini mampu menarik pelancong datang.

“Justeru saya sekarang melihat kepada angka 4 juta kemasukan pelancong.

“Saya yakin dengan pelbagai program dan aktiviti termasuk perasmian tiang bendera tertinggi pada 31 Disember ini, angka 4 juta boleh dihampiri.

“Jika ini berlaku, ia satu kejayaan besar. Tetapi dengan kejayaan mencapai sasaran 3 juta pada Oktober, saya sudah cukup gembira,” kata Abdul Karim. — DayakDaily