Sarawak negeri maju berintegriti tinggi menjelang tahun 2030, kata Talib

Talib menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya di DUN.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Mei 7: Usaha untuk mengembangkan budaya integriti di kalangan masyarakat dan penjawat awam khususnya akan terus dipertingkatkan.

Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip berkata pelbagai program dan aktiviti berkaitan integriti akan dilaksanakan di semua agensi negeri.

“Di samping itu, kementerian akan terus bekerjasama dengan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dalam menganjurkan Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) di Negeri Sarawak untuk siri yang kedua yang melibatkan peserta seramai 40 orang.

“Ini jelas menggambarkan komitmen yang konsisten dan berterusan kerajaan negeri dalam membudayakan integriti dalam pentadbiran dan dipelbagai peringkat lapisan masyarakat,”katanya.

Beliau berkata demikian di ucapan penggulungan Kementerian Integriti dan Ombudsman di Mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Tambah Talib, tadbir urus yang baik merupakan komponen asas integriti sesebuah organisasi.

Justeru, kerajaan negeri akan terus memberi fokus untuk memperkemaskan tadbir urus di semua peringkat iaitu peringkat kementerian, jabatan, dan badan-badan berkanun termasuk syarikat berkepentingan kerajaan.

“Usaha ini bukan gimik politik seperti tanggapan salah oleh sesetengah pihak.

“Kita akan terus konsisten mengorak langkah untuk memastikan pentadbiran yang baik wujud supaya rakyat sentiasa mendapat perkhidmatan yang berkualiti,” katanya.

Mengakui usaha selama ini belum membuahkan hasil yang menyeluruh dan sepenuhnya bagi meningkatkan tahap tadbir urus, namun Talib percaya kejayaan akan dicapai kelak.

Kerajaan tegas beliau sentiasa optimis dalam apa jua program dan inisiatif yang dilaksanakan.

“Tanggungjawab ini bukan satu tugas yang ringan yang boleh menampakkan hasil dalam tempoh yang singkat.

“Ia memerlukan komitmen berterusan dan kemahuan politik yang ampuh tanpa mengenal erti jemu dan lelah.

“Saya percaya dengan kerjasama semua pihak dalam menerap dan mengamalkan nilai-nilai integriti, Sarawak akan mencapai status Negeri Maju Berintegriti Tinggi Menjelang Tahun 2030,” tegas Talib.

Antara agensi yang sudah menjalin kerjasama dengan kementerian ialah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Agensi Anti Dadah Malaysia(AADK), Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) serta Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC). — DayakDaily