Sarawak menandatangani MoU dengan KT Corporation, bekerjasama mendigitasikan kemudahan sukan

Awang Tengah (tengah) menyaksikan Mohammad Morshidi (dua dari kanan) bertukar dokumen MoU dengan Kim (dua dari kiri) bagi memulakan kerjasama antara kerajaan negeri dan KT Corporation di BCCK, Sejingkat, Kuching.
Advertisement

KUCHING, Mei 15: Kerajaan negeri telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi terbesar Korea Selatan, KT Corporation bagi bekerjasama mendigitasikan kemudahan sukan di negeri ini, di Pusat Konvensyen Borneo (BCCK), Sejingkat, di sini, hari ini.

MoU terbabit ditandatangani Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohammad Morshidi Abdul Ghani yang mewakili kerajaan negeri dan Naib Presiden Eksekutif KT Corporation Kim Hyung Joon yang mewakil syarikat telekomunikasi itu serta disaksikan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan bersama Pengurus Besar Lembaga Multimedia Sarawak Dr Zaidi Razak dan Naib Presiden KT Corporation Shin Sohee.

“Keutamaan kerjasama MoU terbabit adalah bagi mendigitasikan kemudahan sukan yang ada di negeri ini bagi menyediakan penggunanya pengalaman yang lancar dan cekap serta menarik bagi mempromosikan pelancongan sukan disamping mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai rumah kuasa sukan di rantau ini,” menurut kenyataan media MoU itu.

Advertisement

Katanya skop kerjasama terbabit juga boleh diperluaskan ke bidang lain seperti dalam bidang komunikasi dan multimedia, penyelesaian teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), Internet of Things (IoT) dan sebagainya yang mensasarkan sektor pelancongan dan bandar pintar bagi merangsang inisiatif Ekonomi Digital negeri ini.

KT Corporation ketika ini adalah penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang terbesar di Korea Selatan dan salah satu dari pemain teknologi global yang menyediakan penyelesaian teknologi inovatif serta syarikat ini adalah peneraju perkhidmatan 5G generasi seterusnya dan juga pemimpin Revolusi Industri 4.0 dengan rangkaian inovatif mereka.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif KT Corporation, Kim Hyung Joon berkata beliau berharap MoU terbabit akan memulakan lebih banyak lagi kerjasama antara syarikat itu dengan kerajaan negeri dalam membangunkan ICT di negeri ini.

“Kami mahu menyumbang dalam membangunkan ICT di Sarawak dan kita juga akan saling mendapat manfaat dari hubungan kerjasama ini dalam masa panjang,” katanya. — DayakDaily

Advertisement