Sarawak kemas kini undang-undang sesuai dengan ekosistem baharu – Abang Johari

Abang Johari (empat kanan) merasmikan Hari Perkhidmatan Awam di Kuching pada 7 Feb, 2024.

KUCHING, 7 Feb: Sarawak sedia mengemas kini undang-undang lama agar ia bersesuaian dengan perubahan ekosistem, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurut beliau, undang-undang siber antara yang perlu diberi perhatian kerana banyak jenayah berlaku di dalam siber.

“Ada yang membuat laporan duit hilang kena tipu, ini jenayah baharu. Kedua, penyeludupan manusia. Ada anak-anak kita ditipu di Kemboja dan Myanmar.


“Maknanya undang undang hendaklah relevan dan kita mesti mengetahui undang-undang ini supaya kita mengetahui kaedah untuk mengesan pesalah,” katanya.

Abang Johari berkata demikian dalam ucapan di Sambutan Hari Perkhidmatan Awam 2024 di sini, hari ini.

Tambah beliau, langkah mengemas kini undang-undang (siber) merupakan kaedah bagi mengelakkan sebarang penipuan.

Dalam pada itu, Abang Johari menggesa penjawat awam agar mengenali dan arif dengan undang-undang baharu yang telah diperkenalkan.

“Ekosistem berubah maka kita ubah undang-undang dan kita mesti tahu implikasi undang undang baharu ini.

“Mereka yang bekerja dalam Jabatan Hutan dan Alam Sekitar mestilah tahu dengan  carbon trading’ dan ‘carbon storage’.

“Ini disebabkan ia adalah perkara baharu dalam landskap dunia di mana Sarawak ada kekuatan,” kata Abang Johari. — DayakDaily