Sarawak II bermula langkah kiri

Sarawak United FC players in action in this file photo.

Oleh Muhammad Akmal Rizki

KUCHING, Mac 9: Hasrat pasukan Sarawak II untuk mengulangi kejayaan dilakar Sarawak United FC pada Sabtu (Mac 7) tidak kesampaian selepas tewas tipis 0-1 kepada Melaka United FC dalam aksi pembuka tirai Liga M3 2020 malam tadi.

Aksi berlangsung di Stadium Sarawak, Petra Jaya menyaksikan kedua-dua pasukan saling mengasak sebaik perlawanan bermula.


Namun, penyudah yang tumpul menghampakan beberapa peluang terbaik kedua pasukan untuk menjaringkan gol pada babak pertama.

Berselang babak kedua, Sarawak II pimpinan jurulatih kelahiran Uganda, Sam Timbe cuba mengatur rentak dalam usaha memecah kebuntuan namun jentera serangan masih gagal mencari jalan penyelesaian.

Sebaliknya, pelawat terlebih awal membuka jaringan hasil rembatan kencang penyerang, Amirul Syafiq Abdul Rahim dari dalam petak penalti pada minit ke-58.

Minit ke 73, Sarawak II hampir menyamakan jaringan namun penjaga gol Melaka United FC, Muhd Syafizullah Wahab cemerlang menepis keluar rembatan kencang Nur Areff Kamaruddin.

Sarawak II sekali lagi berpeluang mencipta jaringan untuk sekurang-kurangnya mengutip satu mata.

Namun, Syafizullah sekali lagi menjadi wira Melaka United FC dengan menepis percubaan Dalglish Papin Test dalam masa kecederaan. ā€” DayakDaily