Sarawak hanya beri bonus pada hujung tahun

Abang Johari (duduk tengah) pada sidang media selesai Majlis Penyampaian Cek Pampasan Bagi Projek Masterplan For Mini Isthmus Gedong.

Oleh Chris Bishop

GEDONG, 12 April: Pemberian bonus kepada penjawat awam di negeri ini hanya pada penghujung tahun sahaja, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Justeru katanya, tiada pemberian bonus sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri kelak.


Katanya, keputusan itu adalah bagi berlaku adil kepada masyarakat di negeri ini yang menyambut pelbagai perayaan.

“Selepas saya berbincang dengan rakan kabinet, saya rasa kita banyak menyambut perayaan seperti Hari Raya, Tahun Baru Cina, Hari Gawai dan saya rasa kita mesti adil kepada semua perayaan.

“Sebab itu Kerajaan Sarawak memutuskan waktu perayaan kita ini pandai-pandailah kita berbelanja,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu Abang Johari hadir ke Majlis Penyampaian Cek Pampasan Bagi Projek Masterplan For Mini Isthmus Gedong Samarahan di Dewan Masyarakat Gedong.

Tambah beliau, pemberian bonus pada penghujung tahun adalah penting.

Menurut beliau, ia membantu perbelanjaan ibu bapa bagi persekolahan anak mereka. — DayakDaily