Sarawak fokus hasilkan produk hijau dari sumber sedia ada

Abang Johari (empat dari kiri) menunjukan tanda 'bagus' di Kemudahan Penanaman Alga di Semenggoh. Turut kelihatan (dari dua dari kiri) Wilson dan Uggah.
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Ogos 27: Sarawak memberi fokus pada kajian terhadap sumber-sumber sedia ada untuk menghasilkan produk hijau.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata usaha tersebut harus dijayakan untuk mengembangkan ekonomi Sarawak di era digital.

Advertisement

“Di era digitalisasi, bermaksud kita lebih efisen di dalam bidang penyelidikan dan mampu menghasilkan produk-produk baharu.

“Sekarang masyarakat bercakap mengenai ekonomi hijau, bahan bakar hijau dan menjadi cabaran untuk kita menghasilkan semua ini mengunakan sumber-sumber yang ada,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Kemudahan Penanaman Alga di Pusat Biodiversiti Sarawak (SBC) di Semenggoh hari ini.

Tambah beliau, inilah masanya semua hasil penyelidikan yang telah dijalankan di SBC dibangunkan menjadi produk sekaligus meletakkan Sarawak sebagai pengeluar produk hijau.

Untuk tujuan itu, Abang Johari memaklumkan Pusat Industri Bio akan dibina di sebidang tanah berkeluasan 100 ekar di Kota Samarahan.

“Kita akan memberi bajet tambahan untuk kerja penyelidikan dan pembangunan selain menaik taraf infrastruktur digital,” ujarnya.

Dari kanan: Uggah dan Abang Johari mendengar taklimat berkenaan proses kerja di Kemudahan Penanaman Alga di Semenggoh.

Kemudahan penanaman alga atau rumpai dijayakan melalui kerjasama SBC dengan Mitsubishi Corporation dan merupakan yang terbesar di Asia Tenggara.

Kemudahan di Semenggoh ini akan mengenal pasti mikroalga yang berguna untuk biomas, bahan mentah, bio-bahan api, makanan, atau pengeluaran makanan kesihatan di Sarawak.

Ianya dijangka menghasilkan biomas alga kering setara 6 ton setahun.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah, Pengerusi SBC Tan Sri Wilson Baya Dandot, Naib Presiden Kanan Mitsubishi Corporation, Kenji Ohta. — DayakDaily

Advertisement