Sarawak Energy sebagai penaung global Majlis Tenaga Dunia, pengiktirafan buat Sarawak – Abang Johari

Wan Junaidi (lima kanan) dan Abang Johari (tiga kiri) merakamkan kenangan bersama tetamu lain di Pelancaran Rona Warni Aidilfitri X-Travaganza di Juma'ani Pavilion pada 31 Mac, 2024.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 31 Mac: Pemilihan Sarawak Energy secara rasmi menjadi penaung global Majlis Tenaga Dunia adalah pengiktirafan atas apa yang telah dilaksanakan oleh Sarawak khususnya berhubung tenaga.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia adalah berkaitan dasar Sarawak mempromosikan tenaga diperbaharui selama ini.


“Masyarakat mengeluarkan tenaga diseluruh dunia termasuk Eropah dan mereka telah mengiktirafkan tenaga yang dikeluarkan oleh Sarawak adalah tenaga yang dikehendaki dalam perubahan iklim.

“Kita mengeluarkan pelbagai tenaga, daripada hydro dan gas.

“Gas ini bukan berbentuk minyak fosil atau arang, ia adalah kategori tenaga baharu,” katanya ketika ditemui di Pelancaran Rona Warni Aidilfitri X-Travaganza di Juma’ani Pavilion hari ini.

Pemilihan sebagai penaung global Majlis Tenaga Dunia telah dimeterai oleh Sarawak Energy secara maya baru-baru ini.

Sarawak Energy diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Datuk Sharbini Suhaili, manakala Majlis Tenaga Dunia diwakiki Ketua Setiausaha dan Ketua Pegawai Eksekutif Angela Wilkinson.

Yang Di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Fauzi dan isteri Abang Johari, Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang turut hadir sama di pelancaran Rona Warni Aidilfitri X-Travaganza. — DayakDaily