Sarawak dilandas betul lahirkan pemimpin masa hadapan

Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

KOTA SAMARAHAN, 5 Dis: Sarawak berada di landasan yang betul untuk menyediakan bakal pemimpin negeri dan negara di masa hadapan khususnya dalam kalangan belia.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pindaan yang dilaksanakan terhadap Artikel 16 Pelembagaan Sarawak jelas menunjukkan komitmen Sarawak dalam menyediakan pemimpin masa hadapannya dari kalangan belia.

Katanya, pindaan terhadap Artikel 16 tersebut bukan sahaja membenarkan belia yang berumur 18 tahun dan keatas untuk mengundi pada pilihanraya, malah ia turut membenarkan belia terbabit menjadi calon seterusnya menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak


“Ini adalah manifestasi kepecayaan kerajaan terhadap kebolehan belia dalam menentu hala tuju pembangunan negeri dan negara kita dimasa hadapan.

“Harapan kita agar belia-belia kita ini untuk meningkatkan keupayaan diri mereka sendiri kerana masa depan negari dan negara terletak di tangan belia kita ini,” katanya ketika berucap pada sambutan hari belia peringkat negeri Sarawak di Asajaya di sini hari ini.

Katanya, golongan belia harus sedar peranan mereka dalam aspek pembangun politik di Sarawak dan negara memandang golongan tersebut merupakan pewaris kepada kekayaan, kemakmuran dan kesejahteraan negeri serta negara yang telah diusahakan oleh pemimpin terdahulu.

Justeru beliau menyeru semua golongan belia untuk sentiasa menyokong usaha kerajaan dalam memperkasakan peranan golongan belia di Sarawak.

Abdul Karim berkata, pembangunan teknologi digital dan inisiatif ekonomi digital yang dilaksanakan oleh Sarawak turut membuka peluang kepada belia untuk menceburi pelbagai bidang termasuk, keusahawanan, Kesenian, sukan dan sebagainya.

“Inisiatif ini telah menyediakan peluang dan semangat kepada para belia kita untuk mengembangkan bakat serta kreativiti mereka dalam pelbagai bidang yang pastinya akan memberi manfaat bukan sahaja kepada belia itu sendiri tepati kepada Sarawak terutamanya dan Malaysia amnya,” tambah beliau. — DayakDaily