Sarawak di tangga ke-3 paling ramai terima vaksin dos 1 — Abdul Karim

Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah

KUCHING, 1 Sept: Sarawak berada di tangga ke-3 paling ramai rakyat yang telah divaksin dengan dos 1 dan di tangga kedua untuk dos 2, kata Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

“Pencapaian yang amat baik ini jelas menunjukkan kerajaan Sarawak amat prihatin terhadap kesihatan dan keselamatan rakyat.

“Ini juga jelas dilihat dengan pembukaan sebanyak 343 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) diseluruh bahagian dan daerah di Sarawak,” katanya pada ucapan di Sambutan Hari Kebangsaan 2021 di Kompleks Dewan Undangan Negeri malam tadi.


Sambutan dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Toh Puan Raghad Kurdi Taib.

Turut hadir Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg serta isteri, Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.

Tambah Abdul Karim yang juga Menteri Bertanggungjawab Sambutan Hari Kebangsaan 2021, keperihatinan Kerajaan Sarawak agak sukar untuk ditandingi negeri-negeri lain dalam soal pemberian bantuan semasa pandemik.

Katanya, pada 4 Ogos yang lalu Abang Johari sekali lagi telah mengumumkan Pakej BKSS Ke-7 bernilai RM800 juta.

Manakala sebelum ini, Abang Johari telah melaksanakan sebanyak enam pakej BKSS berjumlah RM4.5 bilion.

“Bantuan ini adalah untuk memperkasakan aktiviti perusahaan dan perniagaan dalam keadaan yang sihat dan untuk meringankan beban rakyat termasuk entiti perniagaan semasa krisis pandemik Covid-19,” ujar beliau.

Menyentuh mengenai tema sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini iaitu ‘Malaysia Prihatin’ dan ‘Malaysia Menang Bersama’, Abdul Karim berkata ianya adalah amat tepat dan sesuai sekali.

“Tema ini jelas mengambar dan mencerminkan apa yang kerajaan Sarawak telah dan sedang buat untuk rakyat lebih-lebih lagi dalam suasana kita berperang dengan penularan wabak Covid-19,” katanya. — DayakDaily