Sarawak Delta Geopark pacu pembangunan sosio-ekonomi negeri dan rakyat, kata Len

Abang Johari (tengah) menerima Sijil Geopark Kebangsaan daripada Takiyuddin (tiga dari kiri). Turut kelihatan Awang Tengah (tiga dari kanan) dan Len (dua dari kanan).

KUCHING, 24 Sept: Pengiktirafan Sarawak Delta Geopark (SDGp) sebagai Geopark Kebangsaan dan seterusnya di peringkat global dapat memacu pembangunan sosio-ekonomi negeri dan rakyat.

Menurut Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh, jenama Geopark diharapkan dapat merancakkan lagi pembangunan industri pelancongan di Sarawak.

“Ia juga akan meningkatkan reputasi Sarawak dalam memelihara khazanah yang ada di negeri ini.


“Kita juga berharap agar suatu hari nanti SDGp dapat berdiri setanding dengan geopark lain di seluruh dunia,” katanya dalam ucapan aluan di Majlis Pemasyhuran Sarawak Delta Geopark sebagai Geopark Kebangsaan yang ke-6 di Kampung Budaya Sarawak di Santubong hari ini.

Majlis telah disempurnakan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Hadir sama Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.

Tambah Len, tujuan Geopark adalah bagi menyediakan mekanisme untuk pembangunan wilayah secara bersepadu yang merangkumi pemeliharaan warisan alam semulajadi, pembangunan ekonomi dan pembangunan komuniti berasaskan sumber-sumber warisan geologi.

Katanya, SDGp adalah geopark yang pertama di Sarawak dengan berkeluasan 311,246 hektar meliputi kawasan daratan dan air mewakili kesatuan warisan geologi, biologi dan budaya istimewa yang terdapat di Daerah Kuching, Daerah Bau, Daerah Kecil Padawan, Daerah Kecil Siburan dan juga sebahagian kecil Serian.

“Hari ini setelah lebih sedekad berbincang, menilai serta memperhalusi impaknya kepada dasar guna tanah dan perancangan negeri sedia ada, akhirnya kita akan menyaksikan majlis pemasyhuran Sarawak Delta Geopark sebagai Geopark Kebangsaan,” ujar Len.

Menurut beliau, Sarawak Delta telah dinilai oleh Jawatankuasa Penilaian Geopark Kebangsaan pada 19 hingga 21 Januari yang lalu.

Hasil daripada penilaian tersebut, Sarawak Delta telah diperakukan sebagai geopark kebangsaan yang ke-enam pada Mesyuarat Jawatankuasa Geopark Kebangsaan pada 20 Jun 2022.

Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan sebanyak RM2,045,000 bagi melaksanakan inisiatif geopark bagi tempoh dua tahun ini.

Setakat ini, sebanyak 28 geotapak telah dikenalpasti di mana 8 geotapak bernilai tempatan, 8 geotapak bernilai kebangsaan dan 12 geotapak yang mempunyai nilai antarabangsa.

Salah satu biotapak dalam Sarawak Delta Geopark iaitu Kuching Wetland National Park telah menerima pengiktirafan tapak Ramsar yang pertama di Sarawak pada 8 November 2005. — DayakDaily