Oleh Cornelius Kadir Edison
KUCHING, 22 Jan: Sarawak bakal mewujudkan sebuah pusat latihan atau sekolah vokasional khas bagi membolehkan pelajar-pelajar daripada golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) boleh melanjutkan pengajian mereka.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, pada ketika ini perbincangan sedang dilakukan di peringkat kerajaan negeri bagi menentukan sama ada untuk mewujudkan sebuah sekolah atau kompleks latihan OKU.
“Kita belum lagi putuskan sama ada ia dalam bentuk sekolah vokasional ataupun ianya diwujudkan sebagai satu kompleks latihan OKU, sebab kalau sekolah vokasional maknanya ada beberapa perkara yang perlu kita atur dulu iaitu kebenaran daripada kerajaan persekutuan.
“Namun demikian, kalau kita ada satu alternatif iaitu kalau kita buat sebagai sebuah pusat dimiliki oleh kerajaan negeri yang berbeza dengan sekolah vokasional yang di miliki oleh kerajaan persekutuan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Penyampaian Geran Pertubuhan Sukarelawan Kebajikan bagi Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia Cawangan Sarawak di sini hari ini.
Katanya, konsep sekolah atau pusat latihan tersebut perlu dipersetujui terlebih dahulu sebelum sebarang pelaksanaan terutamanya melibatkan jenis-jenis kursus yang bakal ditawarkan kepada golongan OKU di negeri ini.
Beliau berkata, golongan OKU sendiri boleh mengemukakan cadangan mereka bagi menentukan jenis konsep atau kursus-kursus yang perlu ada dan ditawarkan di pusat tersebut.
“Cadangan daripada OKU ini boleh membantu kita menentukan konsep yang harus diguna pakai kerana pusat ini adalah untuk mereka.
“Golongan OKU ini pelbagai, ada yang cacat penglihatan, ada yang cacat pendengaran, ada yang mempunyai masalah pembelajaran dan cacat dari segi fizikal, jadi konsepnya perlu dipersetujui terlebih dahulu barulah kita boleh cadangkan jenis-jesnis kursus yang sesuai dengan golongan OKU terbabit,” katanya.
Fatimah berkata, pengwujudan sekolah atau pusat latihan OKU tersebut sememangnya berada dalam perancangan kerajaan Sarawak dalam membantu golongan tersebut mendapatkan pendidikan berkualiti seperti golongan masyarakat lain.
Justeru, perbincangan lanjut yang dilakukan pada ketika ini turut mengambil kira jumlah pusat tersebut akan dibina serta lokasi yang bersesuaian untuk menempatkan pusat tersebut.
Beliau berkata, pihaknya mensasarkan untuk menyiapkan kertas kerja berkenaan konsep pusat tersebut pada tahun ini sebelum sebarang keputusan berkaitan perkara tersebut diambil.
“Siapnya sekolah atau pusat latihan tersebut bergantung kepada kertas kerja konsep tersebut iaitu sama ada kita hendak membuat ianya secara projek perintis dengan menyewa premis sebelum bangunan kekal itu siap dibina,” katanya.
Pada masa sama, pihaknya turut menggalakkan golongan OKU di Sarawak untuk memanfaatkan kemudahan sedia ada bagi meningkatkan kemahiran mereka.
“Saya akan bawa mereka (golongan OKU) pergi ke Kolej Antarabangsa Teknologi Lanjutan Sarawak (I-Cats) untuk melihat kemudahan yang ada dan bagaimana mereka ini boleh memohon untuk mengikuti bidang kemahiran yang ditawarkan di I-Cats ini,” katanya. — DayakDaily