KUCHING, Julai 14: Sarawak berharap kerajaan pusat Pakatan Harapan (PH) tidak memberhentikan pemberian subsidi yuran kepada ibu tunggal atau ibubapa kurang berkemampuan di negeri ini yang menghantar anak ke taman asuhan kanak-kanak (taska) berdaftar dibawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Menteri Kebajikan, Kesejahtaraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata demikian kerana ketika ini terpulang kepada kerajaan pusat PH samada meneruskan atau tidak pemberian subsidi terbabit yang sebanyak RM250 sebulan bagi seorang anak.
“Kalau di taska berdaftar dengan JKM seperti Taska Qaseh Laila, yuran keseluruhannya sebanyak RM450 sebulan bagi seorang anak, dengan subsidi yuran RM250 terbabit, ibu tunggal dan ibubapa kurang berkemampuan hanya perlu membayar RM200 sahaja sebulan bagi seorang anak,” katanya ketika menghadiri Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Taska Qaseh Laila, di Jalan Ong Tiang Swee, di sini, hari ini.
Fatimah berkata subsidi tersebut selama ini amat membantu ibu tunggal dan ibubapa kurang berkemampuan di negeri ini yang perlu bekerja dan mendedahkan sehingga kini masih tidak banyak majikan termasuk jabatan kerajaan mewujudkan taska di tempat kerja.
“Taska di tempat kerja nampak gayanya sampai sekarang tidak mendapat maklumbalas yang memuaskan dari jabatan. Kalau di Sarawak, rekod terkini menunjukkan taska di tempat kerja hanya ada lapan dengan bilangan kanak-kanaknya mendapat manfaat dari taska ini seramai 167 orang,” katanya.
Disamping itu, Fatimah berkata adalah penting bagi ibu bapa menghantar anak mereka ke taska yang berkualiti kerana didapati umur kanak-kanak ketika lima tahun pertama adalah tempoh perkembangan otak manusia yang paling cepat sekali.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan Persatuan Ibu Tunggal Sarawak (PITSA) sebagai pengusaha Taska Qaseh Laila membuat surat memohon tanah bagi taska terbabit dan membina bangunan baharu yang boleh beroperasi sebagai taska, tadika dan transit bagi kanak-kanak serta ibupejabat negeri persatuan itu.
Ini berikutan Presiden PITSA, Salmah Ibrahim sebelum itu mendedahkan pihaknya ketika ini sudah mengenalpasti tanah di Jalan Crookshank bagi memindahkan operasi Taska Qaseh Laila yang ramai pengasuhnya ibu tunggal dari lokasi Jalan Ong Tiang Swee yang akan dibangunkan. — DayakDaily