Oleh Chris Bishop
KUCHING, 31 Mei: Kerajaan Negeri telah membelanjakan sebanyak RM3 bilion melalui Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 1 hingga 5 bagi meringankan beban rakyat akibat pandemik Covid-19.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memberi jaminan akan melakukan yang terdaya bagi menangani pandemik Covid-19 di Sarawak.
āSetakat Mei ini, kerajaan Sarawak telah membelanjakan sejumlah RM242 juta untuk menguruskan Covid-19. Perbelanjaan ini termasuk kos kuarantin, bekalan makanan, logistik, peralatan dan sebagainya.
āIni tidak termasuk bantuan khas BKSS 1 hingga 5 sebanyak RM3 bilion untuk meringankan beban rakyat akibat pandemik ini,ā katanya dalam Perutusan Gawai Dayak 2021 sempena Hari Gawai Dayak yang akan diraikan esok.
Tambah Abang Johari, kerajaan GPS juga berusaha sedaya upaya untuk mempastikan program imunisasi di Sarawak dapat berjalan lancar dan dijangkakan akan siap pada bulan Ogos bagi 2.08 juta rakyat yang layak menerima vaksin.
Katanya, kerajaan persekutuan telah memberi kelulusan kepada kerajaan Sarawak untuk membuat perolehan vaksinnya sendiri di samping kelulusan untuk mewartakan hospital swasta sebagai pusat pemberian vaksin.
āKerajaan GPS telah melakukan yang terbaik untuk rakyatnya ketika negeri dan negara dilanda pandemik Covid-19.
āBerani saya menyatakan bahawa tiada negeri yang memperuntukkan bantuan khas sebanyak yang telah diperuntukkan di bawah BKSS 1 hingga 5 berjumlah RM2.6 bilion.
āTiada negeri yang menanggung kos kuarantin untuk rakyatnya dan tiada negeri yang membuat perolehan vaksinnya sendiri,ā ujar Abang Johari. ā DayakDaily