Sarawak bantu pelajar negeri selesaikan hutang PTPTN

Abang Johari (dua dari kiri) menyaksikan pameran tentang sejarah SK Abang Leman.
Advertisement

KUCHING, Nov 20: Kerajaan Sarawak akan membantu membayar hutang PTPTN pelajar-pelajar Sarawak dengan peruntukan sebanyak RM30 juta.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata penyelesaian hutang tersebut akan dibuat melalui Yayasan Sarawak.

“Namun mereka hendaklah membayar balik kepada Yayasan Sarawak mengikut mekanisma yang akan ditentukan kelak.

Advertisement

“Bantuan itu tidak percuma,” katanya semasa membuat ucapan perasmian Majlis Ulang Tahun ke-100 SK Abang Leman di Kabong, pagi ini.

Tambah beliau, kerajaan Sarawak membuat keputusan itu untuk mengelakkan mereka dibelenggu dengan permasalahan lain seperti larangan ke luar negara.

Kalau disekat, bagaimana mereka hendak ke luar negara untuk mencari pekerjaan, tegas Abang Johari.

Abang Johari (tengah, baju putih) hadir di Majlis Ulang Tahun ke-100 SK Abang Leman di Kabong.

Peruntukan RM30 juta itu diluluskan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini dan mekanisma untuk mengagihkan peruntukan tersebut akan ditentukan oleh kerajaan negeri.

Pada majlis yang sama, Abang Johari turut meluluskan peruntukan RM250,000 untuk membina dan membeli peralatan makmal komputer di sekolah tersebut.

Turut hadir Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Datuk Seri Michael Manyin, ADUN Kalaka Datuk Abdul Wahab Aziz dan ADUN Kabong Mohd Chee Kadir. — DayakDaily

Advertisement