This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 14 Jun: Sebuah Kompleks kebudayaan menyerupai Istana Budaya di Kuala Lumpur akan diwujudkan di Sarawak tidak lama lagi, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), ia akan diwujudkan di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lama di Petra Jaya.
Katanya, kompleks kebudayaan baharu itu adalah khusus untuk keperluan Jabatan Kebudayaan dan Warisan.
“Pada masa ini lebih kurang sudah dikenal pasti untuk pembinaan.
“Ia bukannya bangunan baharu dan lokasi yang sudah dikenal pasti ialah di DUN Lama yang akan dinaik taraf untuk dijadikan pusat kebudayaan yang dilengkapi dengan balkoni serta kemudahan lain,” kata Abdul Karim.
Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas perasmian Dialog Seni Majlis Seni Sarawak 2023 di Muzium Budaya Sarawak, Kuching pada Selasa.
Selain itu, Abdul Karim memberitahu kementeriannya akan terus komited dalam memberi keseimbangan berkaitan mempromosikan produk pelancongan dan identiti budaya yang ada di negara ini khususnya di Sarawak. — DayakDaily