KUCHING, 14 Jan: Sarawak antara negeri yang melahirkan usahawan paling ramai dalam program keusahawanan MARA selepas Kedah dan Johor.
Menurut Timbalan Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah Datuk Rubiah Wang, pada tahun 2022 Sarawak melahirkan 663 usahawan berbanding sasaran asal 305.
“Antara produk usahawan berjaya MARA Sarawak ialah Mira Cake House berkaitan kek lapis, Zuema dengan produk mi kolok segera, Leni Spice menghasilkan pes makanan dan Ambnah dengan produk cendol apong,” katanya dalam lawatan ke Institut Kemahiran MARA (IKM), Jalan Sultan Tengah di Kuching semalam.
Tambah Rubiah, produk keusahawanan MARA ini juga telah memenangi beberapa anugerah.
Katanya, ia termasuk Anugerah Usahawan Desa, Premis Terbaik dan lain-lain lagi.
“Justeru, saya percaya MARA Sarawak mampu membantu masyarakat kita untuk meningkatkan tahap keupayaan diri terutamanya dalam aspek pembangunan ekonomi dan sosial,” katanya.
Pada lawatan itu, Rubiah menyampaikan sumbangan dan anugerah kepada usahawan MARA. — DayakDaily