Sarawak akur laksana PRN-12 selepas darurat

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg

Oleh Cornelius Kadir Edision

KUCHING, 14 Jan: Sarawak menghormati proklamsi darurat yang diisytharkan Yang Dipertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi membendung Covid-19 namun optimis mampu melaksanakan pilihan raya negeri ke-12 apabila perintah itu ditarik balik.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari tun Openg berkata, pengisytiharan darurat itu dibuat mengikut lunas undang-undang seperti yang termaktub dalam Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.


Justeru Sarawak katanya perlu akur dengan keputusan yang di-Pertuan Agong yang mengisytiharkan proklamasi darurat di seluruh negara.

“Sekiranya keadaan bertambah baik dan Agong yakin dengan keadaan tersebut, baginda boleh menarik balik proklamasi tersebut untuk beberapa tempat di Malaysia.

“Jika kita mengekalkan disiplin kita yang ketat dan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) dan Sarawak dilihat dapat mengawal penularan Covid-19 kerana kita sama seperti Perlis, jadi terpulang kepada mereka untuk menarik balik pengisthiran darurat itu dan kemudian PRN boleh dilaksanakan,” katanya selepas melawat mangsa banjir di Pusat pemindahan sementara (PPS) di kampung Segedup di sini hari ini.

Abang Johari berkata, kenaikan mendadak kes Covid-19 di Sarawak adalah disebabkan oleh Kluster Pasai di Sibu.

Kejayaan mengawal jangkitan daripada kluster tersebut katanya, secara tidak langsung akan membolehkan penularan Wabak Covid-19 di Sarawak kembali terkawal.

Al-Sultan Abdullah memberikan perkenan bagi pengisytiharan Proklamasi Darurat untuk dilaksanakan sehingga 1 Ogos depan sebagai langkah proaktif membendung penularan Covid-19 selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyembah maklum hasil mesyuarat menteri-menteri kabinet berhubung perkara tersebut kepada baginda.

Manakala tempoh mandat kerajaan negeri Sarawak pada ketika ini adalah sehingga 6 Jun 2021 dan PRN-12 perlu diadakan dalam jangka waktu 60 hari dari tarikh tersebut jika tiada terdapat pengisytiharan Proklamasi Darurat oleh Yang Dipertuan Agong.

Sarawak pernah melaksanakan pilihan raya negeri pada penghujung tahun iaitu Pilihan Raya Negeri keempat pada bulan Disember 1983. — DayakDaily