Oleh Chris Bishop
KUCHING, 8 Nov: Sarawak akur dengan keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menutup semua sekolah di seluruh negara mulai esok (9 Nov) hingga ke tarikh akhir sesi persekolahan tahun ini.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, KPM lebih arif dengan situasi terkini dan bahaya wabak Covid-19.
“Kita akur untuk menyelamatkan keadaan. Saya serahkan kepada Kementerian Pendidikan yang bertanggungjawab dalam hal ini,” katanya menjawab soalan pemberita pada satu sidang media di Kuching hari ini.
Abang Johari yakin KPM boleh mencari kaedah alternatif agar pembelajaran secara ‘home-based learning’ (pembelajaran di rumah) boleh dilaksanakan dengan berkesan.
Katanya, ia termasuk di kawasan-kawasan yang kurang atau tiada liputan arus Internet.
Pagi tadi, Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin pada sidang media di Putrajaya berkata, bagi sekolah di negeri-negeri Kumpulan A penutupan ialah hingga 17 Dis sementara negeri-negeri Kumpulan B hingga 18 Dis.
Keputusan itu dibuat susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) melibatkan semua negeri di Semenanjung Malaysia kecuali Kelantan, Pahang dan Perlis yang bermula esok hingga 6 Dis depan.
Kumpulan A merangkumi Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu. — DayakDaily