Sarawak adakan kerjasama dengan Singapura bangunkan sektor pertanian — Dr Rundi

Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom (file pic)

KUCHING, 29 Jan: Sarawak menggunakan kepakaran Singapura dalam membangunkan sektor pertanian dan aktiviti berasaskan teknologi baharu.

Menteri Industri Makanan, Komoditi Dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi berkata, usaha tersebut dijangka membawa pendapatan kepada Negeri ini.

“Kita telah lama berbincang dengan Singapura dalam pelbagai aspek ekonomi termasuk pertanian.


“Kelebihan Sarawak adalah kita mempunyai tanah—kita gunakan ‘brain power’ Singapura dalam membangunkan tanah kita untuk pertanian dan aktiviti teknologi baru,” katanya.

Dr Rundi berkata demikian ketika ditemui di Majlis Sambutan Tahun Baru Cina 2023 anjuran SUPP Tanjung Batu di Bintulu hari ini.

Majlis dihadiri Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Berhubung pembentangan semula Bajet 2023 nanti, Dr Rundi berharap Sarawak mendapat peruntukan yang sewajarnya khususnya dalam membangunkan sektor keselamatan makanan.

Katanya, Sarawak menerusi Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (Salcra) kini sedang berusaha untuk menghasilkan makanan haiwan daripada sisa kelapa sawit.

“Kita tahu import makanan haiwan adalah sangat mahal, oleh itu kini kita berusaha menghasilkan makanan haiwan daripada sisa kelapa sawit.

“Mungkin dalam masa dua tiga bulan ini kita akan menubuhkan satu kilang dibawah Salcra,” ujar Dr Rundi. — DayakDaily