SAR lelaki hilang selepas memancing tumpu dua lokasi berbeza

Kelihatan seekor anjing pengesan dari Unit K9 JBPM Sarawak turut serta dalam SAR hari kedua seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas memancing di Sungai Stat, Bau.

BAU, 7 Feb: Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dilaporkan hilang di Kampung Bijuray semalam diteruskan hari ini selepas satu petunjuk iaitu sebuah pondok sementara yang dipercayai dibina mangsa ditemui semalam.

Jurucakap Pusat Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pondok sementara itu ditemui kira-kira 3.89 km dari Pusat Kawalan Bomba bagi operasi berkenaan.

Justeru katanya, fokus pencarian pada hari ini menfokuskan kepada dua lokasi iaitu lokasi pondok terbabit dibina serta lokasi di mana mangsa dipercayai ingin memancing.


“Menurut maklumat yang kita ada, jarak pondok tersebut ke Sungai Stat iaitu lokasi mangsa dan rakannya ingin memancing adalah kira-kira 15 km melalui laluan hutan dan gunung.

“Bagi pencarian hari ini, satu pasukan yang terdiri daripada masing-masing enam anggota Bomba dan Polis serta tiga orang kampung  telah bergerak ke lokasi mangsa dikatakan ingin memancing.

Anggota bomba dan penyelamat serta penduduk kampung yang turut serta dalam Operasi SAR hari kedua seorang lelaki yang dilaporkan hilang.

“Manakala satu pasukan lagi, melakuan pencarian alternatif menuju ke lokasi pondok yang dipercayai dibina mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi SAR hari ini juga turut disertai Unit Anjing Pengesan (K9).

Dalam kejadian Rabu lalu (3 Feb), mangsa bersama seorang lagi rakannya dikatakan ingin pergi memancing di Sungai Stat yang jaraknya lebih kurang 15 km dari Kampung Bijuray.

Semasa dalam perjalanan pulang, rakan mangsa tidak menyedari kehilangan mangsa selain beranggapan mangsa telah pulang ke rumahnya.

Bagaimanapun, laporan berkenaan kehilangan mangsa hanya dibuat oleh abangnya semalam (6 Feb). — DayakDaily