SAMFAG 2020 mengetengahkan rekaan fesyen motif songket Sarawak

Abdul Karim (tengah) bersama ahli MACPA Kuching menunjukkan poster acara SAMFAG 2020.

KUCHING, 28 Okt: Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan akan menganjurkan Sarawak Music Fashion Galore (SAMFAG) 2020 kali pertama bagi mengetengahkan rekaan fesyen motif songket Sarawak di Pullman Hotel, di sini, pada 28 November depan.

Menterinya Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata SAMFAG 2020 akan dianjurkan pihaknya dengan kerjasama Persatuan Pengiat Seni dan Kebudayaan Malaysia (MACPA) Kuching.

Katanya acara itu juga bertujuan mendokumentasi dan seterusnya mencalonkan motif songket Sarawak ke Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco)’s ‘Representative List Of The Intangible Cultural Heritage Of Humanity 2021’.


“Antara pereka fesyen tempatan terkenal dari Sarawak yang akan mempersembahkan rekaan fesyen mereka adalah seperti Datuk Tom Abang Saufi, Datin Anna Sue dan Ben Nadzari,” katanya ketika mengadakan sidang media SAMFAG 2020 di Bangunan Baitulmakmur II, Petra Jaya di sini, hari ini.

Abdul Karim berkata seramai 10 peragawati akan memperagakan 10 rekaan pereka fesyen terkenal tempatan terbabit dengan iringan muzik dan nyanyian penyanyi seperti Yap Yen, Gary Kamit dan Eugene Suboh.

“Selain itu terdapat penampilan istimewa iaitu Dewi Liana dan Baby Shima yang merupakan peragawati dan juga penyanyi terkenal di Sarawak,” katanya dengan seramai 250 tetamu sahaja akan dijemput pihaknya bagi menghadiri SAMFAG 2020.

Tetamu kehormat pula Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan isteri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang. Acara tersebut akan mematuhi prosedur operasi ‘Standard’ (SOP) Covid-19 ketat ditetapkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Kementerian Kesihatan. — DayakDaily