Sambutan Tahun Baru Cina SUPP meriah

Abang Johari (tiga kiri) bersama tetamu kehormat yang lain menyiapkan kaligrafi cina semasa majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina SUPP.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 25 Jan: Majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina 2020 anjuran Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) hari ini dihadiri ribuan rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat berbilang kaum dan agama.

Diadakan di Dewan Sa’ati SUPP, majlis dimeriahkan dengan kehadiran Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg serta timbalannya, Tan Sri Dr James Masing dan Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Ditemui pemberita, Abang Johari menggesa rakyat Sarawak mengekalkan keharmonian dan perpaduan yang telah lama wujud di negeri ini.

Katanya, ia adalah keunikan masyarakat yang diamalkan sejak dahulu lagi yang boleh dilihat setiap kali musim perayaan tiba.

“Syukur cuaca mengizinkan untuk orang ramai yang terdiri daripada berbilang kaum dan agama datang berkunjung pada majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran Parti Rakyat Bersatu Sarawak ini.

“Kekalkanlah keharmonian kita ini demi kesejahteraan bersama,” katanya.

Taib bersama Ragad, Dr Sim dan Awang Tengah serta tetamu lain mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina 2020.
Ketibaan Taib di majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina SUPP disambut mesra Dr Sim.

Hadir sama isteri ketua menteri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang, presiden SUPP yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, timbalan presiden Datuk Seri Richard Riot, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion dan barisan menteri kabinet lain dan menteri muda.

Majlis rumah terbuka itu diserikan lagi dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud bersama isteri, Toh Puan Ragad Kurdi Taib.

Turut mengiringi Taib adalah Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Dalam pada itu, Abang Johari hari ini buat julung kalinya mengunjungi rumah terbuka pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak, Chong Chieng Jen, yang diadakan di Christian Ecumenical Worship Centre.

Abang Johari yang tiba kira-kira pukul 1.30 petang telah disambut mesra oleh Chong serta beberapa pemimpin tertinggi DAP Sarawak, antaranya MP Bandar Kuching Dr Kelvin Yii, ADUN Padungan Wong King Wei dan ADUN Pending Violet Yong. — DayakDaily