Sambutan Hari Jadi Tun Taib Ke-85 penuh istiadat

Tun Taib menerima tabik hormat Diraja pada sambutan hari jadi ke-85.

KUCHING, 9 Okt: Sambutan Hari Jadi Yang Terutama (TYT) Ke-85 Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud kali ini berjalan dengan penuh istiadat dengan pematuhan kepada Prosedur Pengendalian Standard (SOP).

Pada sambutan yang diadakan di Dataran Perbarisan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini menyaksikan ketibaan Taib yang ditemani isterinya, Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib sekitar jam 10 pagi.

Ketibaan beliau disambut Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion.


Sebagai permulaan acara, tembakan das meriam dan terbang lalu tiga buah helikopter diadakan sebagai tanda ketibaan beliau.

Sebaik sahaja tiba atas pentas khas, Taib Sambutan Hari Jadi Yang Terutama (TYT) Ke-85 sebelum nyanyian lagu Ibu Pertiwiku dimainkan dan diikuti Istiadat Pemeriksaan Kawalan Kehormat Utama.

Antara kemuncak majlis ialah upacara simbolik sambutan perayaan hari lahir Taib serta persembahan kebudayaan “Nada Persona Sarawak’.

Turut hadir Timbalan-Timbalan Ketua Menteri, Speaker DUN Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nasar serta menteri-menteri kabinet negeri.

Selesai acara di dataran, sambutan diteruskan dengan Majlis Istiadat Pengurniaan Pingat dan Pangkat Negeri oleh Tun Taib kepada para penerima bertempat di Dewan Lapau DUN. — DayakDaily