Saluran paip gas Petronas di Long Luping mengalami kebocoran

Kelihatan lokasi kejadian kebocoran gas di kawasan saluran paip gas Sabah dan Sarawak (SSGP) di Long Luping, Lawas.

LAWAS, Jan 10: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) hari ini mengesahkan berlaku satu kejadian kebocoran gas di kawasan saluran paip gas Sabah dan Sarawak (SSGP) di Long Luping yang berlaku awal pagi tadi.

Pejabat Hubungan Media Petronas Wilayah Sabah dan Labuan dalam satu kenyataan akhbar berkata, sejurus berlaku kejadian kira-kira pukul 2.45 pagi itu, pasukan Tindak Balas Kecemasan (ERT) telah diaktifkan.

Jelas kenyataan sama, situasi kini adalah dalam keadaan terkawal dan insiden tersebut tidak mendatangkan impak kepada masyarakat setempat dan alam sekitar di kawasan tersebut.


“Ketika ini, siasatan masih dijalankan,” kata pejabat itu dalam satu kenyataan akhbar ringkas hari ini.

Untuk rekod, SSGP sepanjang 512km itu mengangkut gas dari Kimanis, Sabah ke Bintulu, Sarawak untuk diproses menjadi gas asli cecair (LNG) di Kompleks LNG Petronas sebelum dieksport.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu.

Jelasnya, sebaik menerima panggilan itu, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Lawas dikerahkan ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja susulan.

“Berdasarkan maklumat dari pegawai teknikal Petronas, mereka telah menutup lima rumah injap di Long Sukang bagi menghentikan kebocoran gas terbabit.

“Setakat ini, tiada laporan kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan akibat kejadian tersebut,” katanya. — DayakDaily