Saluran Paip Gas Bintulu-Samalaju beroperasi akhir 2025 – Julaihi

Julaihi bercakap semasa sidang media di Kompleks DUN pada 29 Nov 2022.

KUCHING, 29 Nov: Projek Saluran Paip Gas Bintulu-Samalaju dengan kos RM600 juta disasarkan siap pada suku ketiga tahun 2023 dan beroperasi pada penghujung tahun 2025.

Menteri Utiliti Dan Komunikasi Datuk Julaihi Narawi berkata, projek kini dalam peringkat reka bentuk yang merangkumi saluran paip gas sepanjang 70km dari Bintulu ke Taman Industri Samalaju.

“Ianya akan meluaskan pengagihan bekalan gas kepada pengguna di Taman Industri Samalaju, termasuk stesen janakuasa ‘Combined Cycle Gas Turbine’ (CCGT) yang kini dalam perancangan untuk dilaksanakan,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam ucapan Penggulungan Kementerian di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Kementeriannya melalui Petroleum Sarawak Berhad (Petros) memperluaskan rangkaian liputan pengedaran gas asli ke bandar-bandar utama di bawah Sarawak Gas Roadmap (SGR) melalui inisiatif Projek Saluran Paip Gas Bintulu-Samalaju dan Pan Sarawak Virtual Pipeline System (VPS).

Manakala bagi inisiatif VPS, tambah Julaihi, satu projek perintis untuk bandar Kuching sedang dalam peringkat rundingan komersial.

Beliau yakin kejayaan projek perintis VPS ini berpotensi memainkan peranan untuk dijadikan penanda aras untuk pelaksanaan projek Pan Sarawak VPS secara keseluruhannya.

“Inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada rakyat Sarawak menikmati kemudahan sumber gas asli dengan harga yang lebih rendah serta menggalakkan pertumbuhan industri kecil dan sederhana,” ujar Julaihi.

Bagi pelaksanaan SGR untuk pembangunan Hub Miri, beliau memaklumkan Petros telah memeterai perjanjian dengan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) pada Oktober 2022 bagi pembekalan gas asli hasil keluaran luar pesisir pantai Sarawak.

Bekalan gas ini akan digunakan untuk stesen janakuasa CCGT 400MW yang akan dibina bagi mengukuhkan sistem bekalan elektrik di Miri. — DayakDaily