KUCHING, 26 Jan: Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak(SALCRA) meluluskan bayaran dividen bagi tahun 2020 berjumlah RM33.7 juta kepada 12,994 peserta.
SALCRA menerusi kenyataan hari ini berkata bayaran akan dibuat dua kali dengan bayaran pertama berjumlah RM16.8 juta atau 50 peratus
daripada jumlah keseluruhan.
“Bayaran akan dikreditkan kepada peserta yang layak pada penghujung bulan Januari 2021.
“Manakala baki selebihnya akan dikreditkan pada bulan Julai nanti,” kata SALCRA.
Menurut kenyataan itu jumlah dividen pada tahun 2020 telah meningkat sebanyak 234 peratus berbanding RM10.1 juta pada 2019.
Katanya dengan peningkatan bayaran ini, jumlah peserta yang layak menerima dividen pada tahun 2020 juga turut meningkat sebanyak 27
peratus berbanding dengan jumlah peserta yang layak pada tahun sebelumnya.
“Pembayaran dividen bagi tahun 2020 dipengaruhi oleh harga pasaran minyak sawit, pandemik Covid-19, bilangan tenaga kerja dan cuaca.
“Harga pasaran minyak sawit pada 2020 rendah pada pertengahan pertama dan hanya menjangkau paras RM3,000 satu tan pada bulan September,” kata SALCRA.
Tambah SALCRA lagi, pandemik Covid-19 telah menggugat operasi ladang kerana kemasukan para penuai yang majoritinya dari negara asing
disekat.
Di samping itu tahun 2020 juga mengalami hujan yang tinggi, jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya.
“Faktor-faktor ini telah mempengaruhi pengeluaran Buah Tandan Segar (BTS),selain itu, kawasan ladang yang matang juga berkurangan iaitu hanya 28,690 hektar disebabkan oleh penanaman semula.
“Dari jumlah kawasan matang, 5,205 hektar adalah kawasan matang mudadan 9,639 hektar matang tua,”katanya. – DayakDaily