KUCHING, 14 Mac :Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Roland Sagah Wee Inn bangga di atas kerjasama Centre of Technical Excellence Sarawak (CENTEXS) dengan agensi antarabangsa.
Pada sidang media semasa lawatan rasmi beliau ke pusat tersebut di Santubong hari ini, beliau berkata, kerjasama itu melibatkan agensi antarabangsa yang mahir dalam bidang teknologi digital dan pendidikan teknikal.
“Seperti yang kita sedia maklum, Premier Sarawak seorang yang futuristik dan beliau hendak melihat banyak penemuan baharu bukan hanya di dalam negeri tetapi juga di peringkat global.
“Sebab itu di CENTEXS, mereka berkolaborasi bersama kumpulan dari luar negara yang mahir serta berpengalaman dalam bidang teknologi dan pendidikan teknikal.
“Kita dapat lihat banyak teknologi yang digunakan untuk memastikan kerja dilaksanakan dengan teliti dan terperinci,” katanya.
Kunjungan Sagah bersama delegasinya bertujuan untuk memahami program latihan dan melihat sendiri infrastruktur latihan yang disediakan di CENTEXS Kuching, Santubong.
Program dimulakan dengan ucapan aluan mengenai pelbagai program dan kemudahan yang disediakan daripada Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS, Sayeed Mohd Hussein Wan Abdul Rahman.
Menurutnya, CENTEXS kini telah berkembang di seluruh bahagian di Sarawak dan berpusat di Kuching dengan pecahan cawangan di Lundu, Dalat, Lawas, Betong dan Mukah.
Sagah kemudiannya turut membuat lawatan di Khidmat Komersial CENTEX, Akademi Digital, Pusat Kecemerlangan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak dan Galeri Warisan.
Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan dan Inovasi Dr Annuar Rapaee, Timbalan Menteri Pembangunan Bakat Datuk Francis Harden Hollis serta Setiausaha Tetap Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datu Kameri Affandi. — DayakDaily