Safari Rakit Padawan 2023 bakal dilaksanakan berskala besar — Abdul Karim

Abdul Karim menyampaikan pemenang kategori 40km Unimas Adventure.
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 26 Jun: Penganjuran Safari Rakit Padawan 2023 bakal dilaksanakan berskala besar, kata Menteri Pelancongan Industri Kreatif Dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menurut beliau, kementeriannya akan memberi sokongan sepenuhnya termasuk dari sudut kewangan.

Advertisement

“Kita akan bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Padawan (MPP) bagi memastikan semua kemudahan disediakan nanti.

“Saya mahu melihat acara ini diadakan dengan sekala besar pada tahun depan, kementerian akan memberi suntikan dana dan kita akan menjemput ramai lagi peserta dari luar negara.

“Kita buat perancangan baik dengan mengambil kira semua aspek seperti logistik, makanan, kebersihan dan kemudahan,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Penyampaian Hadiah Safari Rakit Padawan 2022 di Dewan Serbaguna Kampung Git hari ini.

Tambah Abdul Karim yang juga Menteri Belia, Sukan Dan Seni Persembahan, Safari Rakit Padawan yang telah memasuki tahun ke-18 sentiasa mendapat sambutan hangat.

Justeru katanya, sudah tiba masa untuk menjadikan acara tersebut setaraf dengan Borneo Jazz Festival dan Rainforest World Music Festival.

“Saya harap dan ingin melihat Safari Rakit Padawan mencapai kejayaan seperti Rainforest World Music Festival.

“Ini akan memberi manfaat kepada pengusaha pelancongan seperti pihak hotel, logistik, penduduk setempat dan pengusaha kraftangan,” ujar Abdul Karim. — DayakDaily

Advertisement