SAC Dennis: Polis siasat semua laporan berhubung kenyataan Zawawi Kitab Injil dipesongkan

KUCHING, 8 SEPT: Polis Sarawak telah menjalankan siasatan ke atas semua laporan polis berkaitan kenyataan Kitab Injil dipesongkan oleh MP Pasir Puteh Dr Wan Muhammad Zawawi Salleh.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah(JSJ) SAC Dennis Leong, siasatan kini masih lagi belum lengkap sepenuhnya dan perlu mengambil beberapa tindakan lagi.

“Setelah siasatan lengkap, maka akan dirujuk segera kepada Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya,”katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah Dennis, Polis Kontinjen Sarawak setakat ini telah menerima sebanyak 16 laporan polis daripada pelbagai persatuan dan individu.

Kenyataan Kitab Injil dipesongkan oleh Zawawi pada persidangan parlimen yang lepas telah menimbulkan rasa tidak puas hati dikalangan penganut agama Kristian di Malaysia.

Sehubungan dengan itu, Dennis menasihatkan orang ramai agar bertenang menghadapi isu ini dan tidak mengambil tindakan yang boleh menyalahi undang-undang.

Disamping itu, beliau juga menasihati orang ramai agar berhati-hati mengeluarkan kenyataan sama ada secara lisan atau melalui medium media sosial.

“Pihak Polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan menurut undang-undang agar keselamatan dan ketenteraman awam terjaga di negara ini,’tegas Dennis.-DayakDaily