Rumah teres di Sibu Jaya terbakar

Keadaan di dalam rumah yang terbakar.

SIBU, 16 Ogos: Sebuah rumah di Jalan Sibu Jaya, di sini dilaporkan terbakar sekitar petang tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan MERS 999 berlaku kebakaran rumah sekitar jam 4.09 petang.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Jaya dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan sebuah rumah teres yang terbakar 50 peratus keseluruhan rumah iaitu melibatkan bilik tidur dan dapur.

“Anggota Bomba berjaya memadam kebakaran daripada merebak dengan menggunakan dua aliran hos sumber air dari pili bomba berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Seramai lima orang penghuni rumah termasuk dua kanak-kanak dilaporkan selamat.

Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut.

Selepas kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya anggota Bomba kemudian berangkat balik ke balai. — DayakDaily