Rumah Panjang Usek Sumpit terjejas akibat kebakaran

Oleh Dean Adam

BATU NIAH, Nov 24: Sebuah rumah panjang di Sungai Keriok di sini terjejas dalam satu kejadian kebakaran hari ini.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 8.50 pagi itu, tiada laporan kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran di Rumah Panjang Usek Sumpit itu pada pukul 8.52 pagi.

Katanya, sejurus menerima maklumat mengenai kejadian, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri dan BBP Lopeng telah bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan operasi memadam kebakaran.

Kelihatan asap tebal dari sebuah rumah panjang yang terbakar.
Anggota bomba sedang melakukan operasi memadam kebakaran.

“Pasukan bomba sukarela Batu Niah turut bergegas ke tempat kejadian untuk membantu operasi memadam kebakaran.

“Apabila tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar rumah panjang tersebut, namun semua penghuni sempat keluar melarikan diri,” katanya di sini hari ini.

Tiong menambah, pasukan bomba kemudian bertindak membuat kerja-kerja memadam kebakaran.

Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Miri dan Lopeng bergegas ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran
Penduduk rumah panjang turut membantu memadam kebakaran.

“Buat masa ini pihak bomba masih menyiasat punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian itu,” katanya. — DayakDaily