BETONG, Ogos 20: Tujuh daripada lapan pintu di sebuah rumah panjang di Kampung San Semanju, Jalan Lubuk Antu di sini musnah dalam kebakaran hari ini.
Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira 8.20 pagi itu, tiada laporan kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.21 pagi.
Katanya, sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu, sepasukan lapan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong diarahkan ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.
“Apabila tiba, komander operasi melaporkan satu blok rumah panjang dua tingkat berstruktur tidak kekal mempunyai lapan pintu kesemua.
“Namun, tujuh pintu daripadanya telah terbakar musnah 100 peratus, manakala satu unit berjaya diselamatkan,” katanya di sini hari ini.
Tiong menambah, pasukan bomba dari BBP Sri Aman turut berada di lokasi untuk membantu operasi tersebut.
Katanya, pasukan bomba terpaksa gunakan kaedah “relay pumping” dengan sumber air tangki dari jentera pemadam BBP Sri Aman kerana tiada sumber air terbuka di kawasan berkenaan.
“Buat masa ini, pihak bomba masih menyiasat punca kejadian dan jumlah kerugian akibat kejadian itu,” katanya lagi. — DayakDaily