Rumah panjang nyaris terbakar gara-gara aktiviti memanggang di Batu Niah

Anggota Bomba memadam sisa api untuk memastikan keadaan benar-benar selamat di Rumah Panjang Jelung Utik, Jalan Batu Niah.
Advertisement

MIRI, 6 Jun: Aktiviti memanggang sebuah keluarga di Rumah Panjang Jelung Utik, Jalan Batu Niah di sini nyaris berakhir tragedi apabila menyebabkan berlakunya kebakaran kecil, hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 11.50 pagi dan sepasukan anggota dari Balai Bomba Batu Niah terus ke lokasi kejadian.

Bagaimanapun, setiba anggota Bomba di lokasi didapati kebakaran telah berjaya dipadamkan oleh penduduk rumah panjang.

Advertisement

“Kebakaran hanya melibatkan dapur tempat memanggang dan telah berjaya dipadamkan oleh penduduk rumah panjang sendiri sebelum kedatangan Bomba.

“Bomba hanya bertindak membuat pemadaman bara api yang tinggal dan kemudian melakukan pemantauan menyeluruh di lokasi kejadian bagi memastikan tiada kebakaran berulang atau kemerbahayaan lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 12.30 tengah hari.

Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kebakaran tersebut.

Anggaran kerugian masih dalam siasatan. — DayakDaily

Advertisement