Rumah panjang di Bakun musnah terbakar

Rumah panjang tersebut musnah sepenuhnya.

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


BINTULU, 1 Nov: Sebuah rumah panjang di Jalan Tubau Bakun, di sini dilaporkan musnah dalam kebakaran hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata kejadian dilaporkan berlaku pada jam 9 pagi dan Bomba Bintulu tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 10.32 pagi.

Katanya, jarak dari Balai Bomba Bintulu ke lokasi kejadian ialah 94 kilometer.


“Setiba di lokasi kejadian, didapati benar ada berlaku kebakaran rumah panjang melibatkan enam pintu jenis tidak kekal telah terbakar 100 peratus.

“Anggota Bomba menggunakan satu aliran 100 kaki air dari pam jentera bomba dan tangker bagi memgawal dan memadam api tersebut sehingga padam sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden tersebut.

Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. — DayakDaily