KUCHING: Sebuah rumah panjang yang dihuni 150 orang termasuk 66 kanak-kanak di Kampung Sekubang, Batu Kawa Lama, di sini musnah dalam kebakaran malam tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata kejadian dilaporkan pada jam 7.26 malam.
Beberapa anggota dari Balai Bomba Batu Lintang dan dibantu anggota dari Balai Bomba Petra Jaya hadir di lokasi kejadian untuk memadam kebakaran.
“Komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan sebuah rumah panjang 21 pintu yang didiami oleh 42 lelaki dan 42 wanita serta 66 kanak-kanak.
“Jentera (bomba) mengalami kesukaran untuk ke lokasi kejadian kerana laluan sempit.
“Bagaimanapun, bomba berjaya memadam kebakaran menggunakan punca air terus dari pili bomba dan sumber air terbuka mengunakan pam air,” katanya.
Jelasnya kesemua penghuni rumah dilaporkan selamat dalam kebakaran tersebut.
“Kebakaran tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa dan kesemua mangsa (penghuni) ditempatkan sementara di dewan sekolah berdekatan,” katanya.
Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. — DayakDaily