LIMBANG, Julai 13: Sebuah rumah panjang yang mempunyai 15 pintu musnah terbakar 100 peratus dalam satu kebakaran di Jalan Mendamit di sini hari ini.
Bagaimanapun, kejadian kira-kira pukul 1.25 petang itu tidak melibatkan sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Limbang, Tawang Lingem berkata, pihak menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 1.28 petang.
Katanya, sepasukan anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.
“Berdasarkan siasatan awal, maklumat yang diperolehi mendapati rumah panjang berkenaan sudah tidak diduduki lagi.
“Malah, semasa kejadian, tiada penghuni berada di rumah panjang tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tawang menambah, anggota bomba yang tiba di lokasi bertindak membuat siasatan tentang kejadian tersebut.
Katanya, punca kebakaran itu masih lagi dalam proses siasatan.
“Operasi tamat sepenuhnya selepas proses pemantauan dilakukan,” katanya lagi. — DayakDaily