KUCHING: Polis kini sedang memburu suspek kes khianat dengan menggunakan Molotov Cocktail yang mengakibatkan sebuah rumah di Batu 21 Jalan Kuching-Serian, di sini hampir terbakar.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan DSP Lim Jaw Shyong, kejadian tersebut disedari sekitar jam 1.10 pagi apabila penghuninya dikejutkan dengan bunyi letupan yang mulanya disangkakan mercun.
“Namun apabila pengadu melihat menerusi tingkap bilik tidurnya, didapati terdapat percikan api di hadapan rumahnya.
“Pengadu bersama keluarga keluar dari rumah untuk memadamkan api tersebut dan didapati bahagian hadapan rumahnya mengalami kerosakkan akibat terbakar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Lim memberitahu semasa kejadian, terdapat empat ahli keluarga berada di rumah tersebut.
“Anggaran kerugian lebih kurang RM3,500 melibatkan kerosakkan pintu kaca (sliding), grill dan kos cat dinding yang terbakar,” katanya.
Selain itu, Lim turut memberitahu rumah tersebut dilengkapi lima unit CCTV yang dipasang di hadapan rumah.
“Difahamkan juga keluarga berkenaan tiada masalah atau hutang dengan ceti haram,” kata Lim.
Siasatan lanjut di lokasi kejadian masih dijalankan dan terdapat juga suspek yang yang sudah dikenalpasti.
“Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak juga hadir di lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan dan usaha mengesan suspek juga masih diteruskan,” katanya lagi.