ROSE buka kaunter pendaftaran pengundi baru di Matang Mall hujung minggu ini

Poster program pendaftaran pengundi baru anjuran ROSE di Matang Mall pada Februari 1-2, 2020.

KUCHING, 30 Jan: Persatuan Pemangkin Daya Masyarakat, yang dikenali sebagai ROSE (Rise of Social Efforts), akan membuka kaunter pendaftaran pengundi baru di Matang Mall, di sini, pada Februari 1-2.

Warga Sarawak berusia 21 tahun ke atas, yang masih belum mendaftarkan diri sebagai pengundi, adalah dijemput utuk mendaftar di kaunter ROSE bermula jam 11 pagi sehingga 7 malam.

“ROSE menyarankan semua rakyat Sarawak yang sudah berusia 21 tahun ke atas untuk mendaftarkan diri sebagai pengundi secepat mungkin untuk memastikan mereka berpeluang untuk mengundi pada pilihan raya negeri Sarawak akan datang,” menurut jurucakap ROSE dalam satu kenyataan media hari ini.


Tambah beliau, polisi Undi 18 dan pendaftaran automatik belum dilaksanakan meskipun pindaan Perlembagaan Persekutuan telahpun dilakukan di Parlimen.

“Mengikut pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), polisi pendaftaran sebagai pengundi secara automatik tersebut hanya akan dilaksanakan sekurang-kurangnya pada Julai 2021.

“Begitu juga dengan polisi penurunan had umur layak mengundi daripada 21 ke 18 tahun,” katanya.

ROSE juga mengingatkan bahawa proses permohonan pendaftaran sebagai pengundi baru mengambil masa selama tiga hingga empat bulan untuk diluluskan oleh SPR.

“Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 mungkin akan diadakan sama ada tahun ini atau tahun hadapan. Malah, ketua menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) boleh mengumumkan pembubaran DUN (Dewan Undangan negeri) dan mengadakan pilihan raya bila-bila masa sahaja.”

ROSE berkata rakyat yang tidak mendaftar sebagai pengundi atau tidak menggunakan hak mereka untuk mengundi adalah satu kerugian, kerana ia akan menyukarkan individu tersebut untuk menyuarakan hak mereka.

Mengundi adalah cara dan langkah pertama yang boleh diambil untuk melibatkan diri dalam sistem demokrasi negara.

Kaunter pendaftaran pengundi baru ROSE akan diadakan di Ground Floor, Matang Mall. — DayakDaily